Dalam bab tentang penyesuaian sosial, antara perkara yang ketara dan perlu diketahui adalah kemahiran interpersonal dan juga kemahiran intrapersonal. Kemahiran-kemahiran ini perlu dikuasai oleh golongan masyarakat terutamanya pelajar yang baru memasuki pusat pengajian tinggi. Persoalannya, apakah perbezaan antara kedua-dua kemahiran tersebut?
Kemahiran interpersonal merujuk kepada algoritma mental dan berkomunikasi yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk mencapai kesan ataupun keputusan tertentu. Kebolehan individu untuk berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain secara lisan ataupun bertulis juga merupakan makna yang diberi kepada kemahiran interpersonal. Kemahiran ini juga boleh digelar sebagai komunikasi muka ke muka atau komunikasi antara individu. Konsep asas yang berkaitan adalah konsep kendiri, sikap, sahsiah, nilai, dan matlamat. Keadaan ini dapat membantu mewujudkan seorang individu yang berkebolehan dan berkeyakinan semasa berinteraksi dengan persekitarannya. Kemahiran ini sememangnya penting dalam menjalinkan hubungan yang rapat antara guru dengan para pelajar.
Selain itu, kemahiran interpersonal mendatangkan pelbagai kebaikan kepada seseorang itu. Contohnya, melahirkan persefahaman yang baik antara guru dan pelajar, membantu guru menggunakan pelbagai bentuk komunikasi yang sesuai dan juga meningkatkan kepekaan guru dengan keperluan kemanusiaan pelajar. Peningkatan kebolehan guru kepada konsep pemusatan pelajar dan membina suasana persekolahan yang lebih harmoni turut merupakan kebaikannya. Kerja guru dalam menyelesaikan aktiviti pembelajaran juga dipermudahkan dan seterusnya melengkapkan diri guru dengan pelbagai teknik komunikasi yang berkesan.
Tujuan mempelajari hubungan interpersonal adalah untuk membantu anda memperoleh pengetahuan dari segi memujuk atau mempengaruhi pelajar, menjadi pemudah cara yang berkesan, membina hubungan yang berkesan dengan pelajar dan juga menggunakan pendekatan mesra pelajar. Dalam keadaan ini, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil berat untuk membolehkan kemahiran interpersonal ini dapat dikuasai dengan baik. Antaranya adalah aspek fizikal. Contohnya, lokasi bilik, ruang komunikasi, posture dan gesture. Aspek kedua ialah observatori atau melakukan pemerhatian pada perasaan, pemikiran dan tindakan serta mendengar dengan baik. Aspek ketiga pula memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada orang yang dilayan. Komunikasi interpersonal boleh dikatakan berlaku apabila beberapa orang ataupun satu kumpulan kecil yang biasanya terdiri daripada empat hingga lapan orang berbual menyampaikan perasaan. Secara tidak langsung, seseorang individu yang mempunyai kemahiran interpersonal mempunyai peluang yang lebih baik menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya. Seseorang individu itu dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman dengan individu lain.
Kemahiran intrapersonal pula diberi takrifan keupayaan kognitif seseorang untuk memahami dan mengenali diri sendiri. Dengan adanya kemahiran intrapersonal, seseorang individu itu dapat mengenali diri sendiri secara mendalam serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Keadaan ini menyebabkan mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi terhadap kebolehan diri sendiri, hala tuju yang sudah ditetapkan dan mempunyai azam yang kuat serta mampu berdikari. Jika dilihat dari luaran seseorang yang mempunyai kemahiran intrapersonal, kita sering prasangka bahawa kadang-kala kita melihat seseorang individu tersebut kelihatan murung. Sebaliknya, mereka sentiasa berwaspada dan juga mempunyai wawasan. Bagi seseorang individu untuk memperbaiki kemahiran intrapersonal, contoh aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti menyatakan perasaan diri sendiri terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari, menilai kerja diri sendiri, menghuraikan kekuatan dan kelemahan diri serta melakukan refleksi secara senyap. Seseorang itu juga dapat menulis diari ataupun jurnal berkaitan pengalaman yang manis ataupun pahit yang pernah dialami.
Kesimpulannya, walaupun kemahiran interpersonal dan juga kemahiran intrapersonal berbeza, tetapi kedua-dua kemahiran tersebut mendatangkan manfaat yang tersendiri. Manfaat-manfaat yang diperoleh melalui kedua-dua kemahiran tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Saya di sini juga berharap bahawa seluruh golongan masyarakat terutamanya pelajar supaya mempelajari kemahiran-kemahiran ini kerana memang tidak dinafikan lagi bahawa kemahiran-kemahiran tersebut amat berguna bagi kita semua.
没有评论:
发表评论