Isu
ketidakseimbangan antara nisbah lelaki dan perempuan dalam dunia pendidikan
telah merunsingkan pelbagai pihak. Masalah ini memerlukan perhatian yang segera
demi mengecilkan jurang kecemerlangan akademik dan mengimbangi kelangsungan
pendidikan antara kaum lelaki dan kaum wanita dengan baik.
Penguasaan
pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai
memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti perbaiki jika tidak mahu
terus ketinggalan. Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya
untuk mengukur kapasiti pencapaian dua jantina, mengapa pencapaian pelajar
lelaki tetap tidak setara? Biarpun kemampuan pelajar lelaki sering kali
dikatakan agak ketinggalan namun mereka masih boleh berjaya jika disokong dengan
langkah yang betul. Hal ini telah menimbulkan persepsi bahawa pelajar lelaki
memang mempunyai tahap kepandaian yang rendah berbanding dengan pelajar
perempuan hingga menjadikan populasi kaum lelaki semakin pupus dalam pencapaian
akademik.
Walaupun
dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya
anjakan paradigma dijalankan bagi mengatasi pelajar perempuan. Perkara ini
tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan yang
berbeza. Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara
kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur. Pelajar
perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyelerahkan kematangan
pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.
Kematangan
pelajar perempuan boleh diperlihat melalui etika mereka semasa membuat kerja
sekolah iaitu dengan sikap yang teliti, sering membawa buku dan rujukan di
dalam kelas. Sebaliknya, pelajar lelaki lebih cenderung kepada bermain, bergurau
senda serta mengusik rakan dan hanya mampu menumpukan perhatian dalam jangka
masa yang pendek sahaja. Perbezaan biologikal ini memang benar kerana secara
normalnya, perempuan memang matang dahulu dari lelaki. Namun begitu, kematangan
lelaki dalam aspek pemikiran boleh menjadi sangat pantas apabila mencapai tahap
remaja. Hal ini dikatakan kerana kebanyakan lelaki menggunakan akal untuk
berfikir tetapi perempuan lebih cenderung berfikir menggunakan emosi.
Pernahkah
terlintas dalam benak fikiran anda bahawa ketidakseimbangan jantina di institut
pengajian tinggi dan dalam struktur pekerjaan adalah disebabkan oleh sistem pendidikan
di Malaysia yang lebih mengutamakan prestasi akademik? Masakan tidak, rata-rata
nisbah kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPT adalah 40:60, dan
difahamkan ada IPT yang nisbahnya 25:75! Ini merupakan hasil dari cara kita
mendidik para pelajar yang mementingkan pencapaian pengetahuan berbanding
dengan keperluan sebenar pendidikan sebagai memenuhi tuntutan hidup yang dapat
menguasai ilmu.
Faktor gender telah
memberikan kelebihan semula jadi kepada wanita kerana menurut kajian kadar
ingatan mereka adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Disebabkan bentuk
sistem pendidikan yang mengutamakan ingatan, yakni melontarkan kembali apa yang
diajar di sekolah, maka lelaki didapati kurang cemerlang dalam setiap
peperiksaan yang bersifat demikian.
Bagi mengatasi
ketidakseimbangan tersebut, kita perlu keluar dari bentuk sistem pendidikan
yang bersifat punitif. Dalam sistem pendidikan yang berorientasi punitif,
mereka yang cemerlang dalam peperiksaan mendapat hampir kesemua peluang,
manakala mereka yang kurang cemerlang akan ketinggalan. Keadaan ini sepatutnya
diubah untuk membolehkan mereka yang lambat memahami proses menerima
pengetahuan mendapat peluang kedua atau ketiga sebagai mana diinginkan oleh
pendemokrasian pendidikan.
Situasi
ini perlu diberikan perhatian dan pertimbangan kerana mereka yang gagal dalam
pendidikan turut menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat. Mereka
menganggap dirinya tidak dapat
menyumbang dan mengalami masalah dalam penerimaan masyarakat. Akibat daripada
permasalahan tersebut, sistem pendidikan turut menyumbang kepada peningkatan
jenayah di mana mereka tidak diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian diri
dalam sistem pendidikan. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab guru
terutamanya untuk memastikan setiap pelajar dapat belajar dengan berkesan
sehingga mereka boleh menjadi insan yang cemerlang.
没有评论:
发表评论