2018年9月20日星期四

Isu Jantina dalam Kecemerlangan Pendidikan - Chung Ting Yen

                           Isu ketidakseimbangan antara nisbah lelaki dan perempuan dalam dunia pendidikan telah merunsingkan pelbagai pihak. Masalah ini memerlukan perhatian yang segera demi mengecilkan jurang kecemerlangan akademik dan mengimbangi kelangsungan pendidikan antara kaum lelaki dan kaum wanita dengan baik.
                           Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti perbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan. Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua jantina, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara? Biarpun kemampuan pelajar lelaki sering kali dikatakan agak ketinggalan namun mereka masih boleh berjaya jika disokong dengan langkah yang betul. Hal ini telah menimbulkan persepsi bahawa pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian yang rendah berbanding dengan pelajar perempuan hingga menjadikan populasi kaum lelaki semakin pupus dalam pencapaian akademik.
                           Walaupun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya anjakan paradigma dijalankan bagi mengatasi pelajar perempuan. Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan yang berbeza. Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur. Pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyelerahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.
                           Kematangan pelajar perempuan boleh diperlihat melalui etika mereka semasa membuat kerja sekolah iaitu dengan sikap yang teliti, sering membawa buku dan rujukan di dalam kelas. Sebaliknya, pelajar lelaki lebih cenderung kepada bermain, bergurau senda serta mengusik rakan dan hanya mampu menumpukan perhatian dalam jangka masa yang pendek sahaja. Perbezaan biologikal ini memang benar kerana secara normalnya, perempuan memang matang dahulu dari lelaki. Namun begitu, kematangan lelaki dalam aspek pemikiran boleh menjadi sangat pantas apabila mencapai tahap remaja. Hal ini dikatakan kerana kebanyakan lelaki menggunakan akal untuk berfikir tetapi perempuan lebih cenderung berfikir menggunakan emosi.
                           Pernahkah terlintas dalam benak fikiran anda bahawa ketidakseimbangan jantina di institut pengajian tinggi dan dalam struktur pekerjaan adalah disebabkan oleh sistem pendidikan di Malaysia yang lebih mengutamakan prestasi akademik?  Masakan tidak, rata-rata nisbah kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPT adalah 40:60, dan difahamkan ada IPT yang nisbahnya 25:75! Ini merupakan hasil dari cara kita mendidik para pelajar yang mementingkan pencapaian pengetahuan berbanding dengan keperluan sebenar pendidikan sebagai memenuhi tuntutan hidup yang dapat menguasai ilmu.
                           Faktor gender telah memberikan kelebihan semula jadi kepada wanita kerana menurut kajian kadar ingatan mereka adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Disebabkan bentuk sistem pendidikan yang mengutamakan ingatan, yakni melontarkan kembali apa yang diajar di sekolah, maka lelaki didapati kurang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang bersifat demikian.
                           Bagi mengatasi ketidakseimbangan tersebut, kita perlu keluar dari bentuk sistem pendidikan yang bersifat punitif. Dalam sistem pendidikan yang berorientasi punitif, mereka yang cemerlang dalam peperiksaan mendapat hampir kesemua peluang, manakala mereka yang kurang cemerlang akan ketinggalan. Keadaan ini sepatutnya diubah untuk membolehkan mereka yang lambat memahami proses menerima pengetahuan mendapat peluang kedua atau ketiga sebagai mana diinginkan oleh pendemokrasian pendidikan.
                Situasi ini perlu diberikan perhatian dan pertimbangan kerana mereka yang gagal dalam pendidikan turut menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat. Mereka menganggap dirinya  tidak dapat menyumbang dan mengalami masalah dalam penerimaan masyarakat. Akibat daripada permasalahan tersebut, sistem pendidikan turut menyumbang kepada peningkatan jenayah di mana mereka tidak diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian diri dalam sistem pendidikan. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab guru terutamanya untuk memastikan setiap pelajar dapat belajar dengan berkesan sehingga mereka boleh menjadi insan yang cemerlang.

Pelajaran sebagai Ahli Komuniti Pembelajaran & Isu-isu Pengkongsian Maklumat - Low Yi Wei


Setiap manusia bergantung kepada individu lain untuk meneruskan kehidupan dan berkembang dengan sempurna dalam dunia ini.Hal ini dikatakan demikian kerana,manusia ialah insan sosial yang tidak dapat hidup secara bersendirian dan perlu saling bergantungan untuk meneruskan kehidupan.Proses pembelajaran juga tidak terkecuali, manusia mesti saling bergantung dalam proses pembelajaran.Sebagai contoh, pembelajaran paling asas dan bersifat semula jadi bagi setiap manusia adalah melalui proses peniruan.Contoh ini dapat dibuktikan semasa kita masih bayi.Bayi akan meniru segala percakapan, perbuatan yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan adik-beradiknya.Lantaran itu,komuniti pembelajaran adalah paling sesuai bagi memastikan keberkesanan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Konsep komuniti pembelajaran merupakan persekitaran yang melibatkan hubungan kerjasamaantara manusia yang memungkinkan berlakunya perubahan tingkah laku.Komuniti pembelajaran diertikan sebagai kumpulan manusia yang saling berkongsi idea dan pendapat, bertindak secara kolaboratif dan koperatif, mempunyai maltlamat yang dikongsi bersama serta saling membantu dalam proses belajar. Dalam proses pembelajaran,perubahan tingkah laku akibat mendapat kefahaman daripada maklumat baru, latihan,pengalaman, celik akal dan cuba jaya. Pengalaman belajar dalam bentuk komuniti pembelajaran merupakan satu pengalaman pembelajaran yang bersifat semula jadi dan bermakna.Tambahan pula,komuniti pembelajaran dapat memupuk semangat kerjasama ,memudahkan proses mengingat, meningkatkan daya ingatan dan memberikan rasa berjaya.Pembelajaran dalam bentuk komuniti pembelajaran adalah sesuai dengan cara semula jadi manusia belajar dan juga sesuai dengan keadaan sebenar dunia.Setiap sekolah atau bilik darjah yang dijadikan satu komuniti pembelajaran boleh disamakan dengan satu keluarga yang rapat ,satu hubungan kejiranan yang sepakat, semangat kekitaan, saling menghormati, saling membantu dan menyokong.Secara tidak langsung, komuniti pembelajaran merupakan sekumpulan manusia yang berkongsi nilai, pendapat ,kepercayaan dan idea serta saling  belajar secara aktif daripada individu lain.

Menurut pandangan tokoh McMillan dan Cavis (1986),komuniti pembelajaran mempunyai empat ciri iaitu keahlian,pengaruh,memenuhi keperluan individu dan berkongsi peristiwa atau tindakan dan perasaan.Justeru,ahli komuniti pembelajaran perlu bersikap patuh terhadap kumpulan,bergerak secara bersama dan membantu rakan dalam kumpulan, memberikan peluang kepada rakan lain untuk meluahkan pendapat masing-masing serta berfikir secara aktif bukannya reaktif. Sebenarnya, komuniti pembelajaran membenarkan ahli kumpulannya meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing, berkongsi serta saling bertukar idea yang bernas, saling menolong dan mengajar.Lantaran itu,ahli komuniti pembelajaran dalam satu bilik darjah dapat bergerak dalam kumpulan yang mantap.Di samping itu, belajar dalam komuniti pembelajaran boleh membantu ahli-ahli ke arah perkembangan mental yang positif kelak.Pelajar-pelajar dapat bersaing dalam keadaan yang sihat melalui pemupukan amalan komuniti pembelajaran yang sihat.Sebagai seorang guru,telah memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dalam kelasnya untuk menwujudkan suasana komuniti pembelajaran yang sanggup bersaing tanpa menindas rakan yang lain.Pengalaman pembelajaran kanak-kanak bukan sahaja berlaku dalam sekolah malahan juga berlaku dalam persekitran luar sekolah seperti pusat tuisyen dan rumah.Oleh itu,segenap lapisan masyarakat memainkan peranan yang penting dan mesti bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam membentuk keperibadian murid-murid yang mulia.

Secara kesimpulannya,setiap pengalaman pelajar di dalam kelas,bagaimana perasaan belajar bersama-sama dengan rakan semeja atau ahli sekumpulan ialah persekitaran yang membentuk alam belajar seseorang.Oleh ,alam belajar ini adalah merangkumi persekitaran yang lebih luas, iaitu sekolah,keluarga dan ahli komuniti yang akan mempengaruhi cara pembelajaran seseorang pelajar.Tegasnya,para guru wajarlah membina hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah dan ahli komuniti setempat dan masyaraakt yang lebih luas supaya dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran.


Isu-Isu Perkongsian Maklumat

Pengurusan ICT di sekolah tidak akan menimbulkan banyak masalah sekiranya kita mengetahui cara-cara dan langkah keselamatan yang perlu diambil untuk melindungi maklumat-maklumat yang penting dan bahan-bahan ICT.Paza zaman globalisasi dan modenisasi kini,penggunaan ICT telah diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya dapat dijalankan oleh semua guru dalam semua mata pelajaran untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran.Pengetahuan yang luas dalam bidang ICT bukan sahaja dapat menambah sumber maklumat yang hendak dicari ,malahan juga membolehkan kita berkongsi maklumat-maklumat melalui aplikasi yang terdapat dalam ICT.Secara amnya, perkongsian maklumat melibatkan proses penemuan dan mendapatkan maklumat, penapisan dan penyusunan maklumat, dan nilai yang terhasil daripada perkongsian dan penggunaan maklumat pengetahuan tersebut dalam sesebuah organisasi.Menurut pandangan tokoh Ganesh (2001),kesemua frasa ini secara kesekuruhannya dapat mebenarkan sesebuah organisasi tersebut untuk belajar dan bertindak balas dalam usaha membina, mengekal dan menambahkan kelebihan persaingan.

Dalam usaha untuk mendapat dan menentukan kesahihan sesuatu maklumat yang diterima, terdapat pelbagai isu yang perlu dikaji dengan teliti agar maklumat yang dicari tersebut dapat benar-benar memberi seribu manfaat kepada kita.Antara isu yang mesti kita kaji adalah kebolehan untuk mengukur kebenaran sesuatu maklumat yang dicari.Contohnya, kita mendapat sesuatu maklumat yang disebarkan dalam laman sosial, kita perlulan bertanya tentang pendapat serta pandangan orang lain untuk memastikan kesahihan sumber maklumat tersebut sebelum disebarkan kepada orang lain.Perkongsian maklumat perlu disebarkan kepada orang lain dalam saluran yang betul agar tidak menjadi khabar angin yang akan menyimpangkan fikiran orang lain. Selain itu,kemudahan dan teknologi yang disediakan juga menjadi isu yang perlu dikaji.Kita wajarlah memilih kemudahan teknologi yang betul untuk mendapat dan menentukan kesahihan maklumat yang diterima.Teknologi yang canggih seperti komputer dan telefon bimbit terkini sering menjadi kemudahan utama bagi kita untuk mencari pelbagai jenis maklumat yang berguna dalam pelajaran.Hal ini dikatakan demikian kerana ,teknologi yang canggih mempunyai rangkaian internet yang membolehkan kita mengakses pelbagai maklumat yang berguna.Tambahan pula,isu kesanggupan meluangkan masa untuk perkongsian maklumat juga perlu diteliti.Kita perlu merancang masa dengan betul dan baik untuk berkongsi maklumat dengan rakan-rakan lain supaya rakan-rakan lain dapat mendapat perkongsian maklumat yang betul yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.Kita wajar sanggup meluangkan masa  dengan orang lain untuk berkongsi maklumat yang diterima.Isu lain yang perlu diteliti dan dikaji ialah personaliti individu yang menyampaikan maklumat.Sekiranya,pertuturan seseorang individu yang menyampaikan maklumat dapat mencerminkan keperibadian dan saksiayh individu tersebut.Seseorang individu seperti  dapat menyampaikan mesej perkongsian maklumat dengan betul sekiranya mempunyai pernonaliti yang menarik seperti menyampaikan maklumat dengan jelas , menyebut perkataan dengan tepat dan betul dan menggunakan perkataan serta ayat yang betul.Nada suara yang sesuai dengan keadaan setempat dan intonasi yang betul membolehkan kita untuk mendapat dan menentukan kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.Lebih-lebih lagi, pengiktirafan kepada perkongsian maklumat berkenaan juga harus dikaji untuk mendapat maklumat yang diterima.Maklumat yang hendak dikongsi mesti adanya pengiktirafan daripada agensi tertentu seperti agensi kerajaan.Hal ini dikatakan demikian.pihak kerajaan akan mengiktirafkan kesahihan maklumat yang diterima sebelum dikongsi kepada orang lain supaya tidak menimbuklan sebarang kekeliruan semasa menerima makluamt.


Secara kesimpulannya,kita perlulah menguasai cara-cara pengendalian peralatan ICT supaya dapat memperluaskan pengetahuan yang dicari dan juga berkongsi maklumat melalui aplikasi tertentu.Oleh itu,kita boleh berbincang tentang sebarang masalah yang hendak dikongsi sebelum menyalurkan maklumat tersebut.


Kemahiran interpersonal & kemahiran intrapersonal - Chan Sing Teck

         Dalam bab tentang penyesuaian sosial, antara perkara yang ketara dan perlu diketahui adalah kemahiran interpersonal dan juga kemahiran intrapersonal. Kemahiran-kemahiran ini perlu dikuasai oleh golongan masyarakat terutamanya pelajar yang baru memasuki pusat pengajian tinggi. Persoalannya, apakah perbezaan antara kedua-dua kemahiran tersebut?

             Kemahiran interpersonal merujuk kepada algoritma mental dan berkomunikasi yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk mencapai kesan ataupun keputusan tertentu. Kebolehan individu untuk berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain secara lisan ataupun bertulis juga merupakan makna yang diberi kepada kemahiran interpersonal. Kemahiran ini juga boleh digelar sebagai komunikasi muka ke muka atau komunikasi antara individu. Konsep asas yang berkaitan adalah konsep kendiri, sikap, sahsiah, nilai, dan matlamat. Keadaan ini dapat membantu mewujudkan seorang individu yang berkebolehan dan berkeyakinan semasa berinteraksi dengan persekitarannya.  Kemahiran ini sememangnya penting dalam menjalinkan hubungan yang rapat antara guru dengan para pelajar. 

        Selain itu, kemahiran interpersonal mendatangkan pelbagai kebaikan kepada seseorang itu. Contohnya, melahirkan persefahaman yang baik antara guru dan pelajar, membantu guru menggunakan pelbagai bentuk komunikasi yang sesuai dan juga meningkatkan kepekaan guru dengan keperluan kemanusiaan pelajar. Peningkatan kebolehan guru kepada konsep pemusatan pelajar dan membina suasana persekolahan yang lebih harmoni turut merupakan kebaikannya. Kerja guru dalam menyelesaikan aktiviti pembelajaran juga dipermudahkan dan seterusnya melengkapkan diri guru dengan pelbagai teknik komunikasi yang berkesan.

        Tujuan mempelajari hubungan interpersonal adalah untuk membantu anda memperoleh pengetahuan dari segi memujuk atau mempengaruhi pelajar, menjadi pemudah cara yang berkesan, membina hubungan yang berkesan dengan pelajar dan juga menggunakan pendekatan mesra pelajar. Dalam keadaan ini, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil berat untuk membolehkan kemahiran interpersonal ini dapat dikuasai dengan baik. Antaranya adalah aspek fizikal. Contohnya, lokasi bilik, ruang komunikasi, posture dan gesture. Aspek kedua ialah observatori atau melakukan pemerhatian pada perasaan, pemikiran dan tindakan serta mendengar dengan baik. Aspek ketiga pula memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada orang yang dilayan. Komunikasi interpersonal boleh dikatakan berlaku apabila beberapa orang ataupun satu kumpulan kecil yang biasanya terdiri daripada empat hingga lapan orang berbual menyampaikan perasaan. Secara tidak langsung, seseorang individu yang mempunyai kemahiran interpersonal mempunyai peluang yang lebih baik menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya. Seseorang individu itu dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman dengan individu lain.
        
         Kemahiran intrapersonal pula diberi takrifan keupayaan kognitif seseorang untuk memahami dan mengenali diri sendiri. Dengan adanya kemahiran intrapersonal, seseorang individu itu dapat mengenali diri sendiri secara mendalam serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Keadaan ini menyebabkan mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi terhadap kebolehan diri sendiri, hala tuju yang sudah ditetapkan dan mempunyai azam yang kuat serta mampu berdikari. Jika dilihat dari luaran seseorang yang mempunyai kemahiran intrapersonal, kita sering prasangka bahawa kadang-kala kita melihat seseorang individu tersebut kelihatan murung. Sebaliknya, mereka sentiasa berwaspada dan juga mempunyai wawasan. Bagi seseorang individu untuk memperbaiki kemahiran intrapersonal, contoh aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti menyatakan perasaan diri sendiri terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari, menilai kerja diri sendiri, menghuraikan kekuatan dan kelemahan diri serta melakukan refleksi secara senyap. Seseorang itu juga dapat menulis diari ataupun jurnal berkaitan pengalaman yang manis ataupun pahit yang pernah dialami.
          Kesimpulannya, walaupun kemahiran interpersonal dan juga kemahiran intrapersonal berbeza, tetapi kedua-dua kemahiran tersebut mendatangkan manfaat yang tersendiri. Manfaat-manfaat yang diperoleh melalui kedua-dua kemahiran tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Saya di sini juga berharap bahawa seluruh golongan masyarakat terutamanya pelajar supaya mempelajari kemahiran-kemahiran ini kerana memang tidak dinafikan lagi bahawa kemahiran-kemahiran tersebut amat berguna bagi kita semua.